Kepulangan Laela disambut gembira oleh ahli keluarganya. Mereka semua mempamerkan wajah yang ceria. Begitu juga Laela cuba melindungi duka hatinya dengan mempamerkan senyum yang selebar mungkin. Tapi hati tua ibunya dapat membaca riak wajah Laela tidak sama dengan rasa hatinya. Saat memeluk ibunya Laela tidak mampu membohongi diri sendiri lagi dan lantas melepaskan segala duka di hatinya dengan airmata. Bahu ibunya yang gempal itu menjadi hamparan untuk airmata Laela. Ibunya hanya membiarkan sahaja. Tahu akan parasaan si anak yang masih berduka. Duka kerana didustai oleh janji palsu lelaki.
Ibunya hanya menggosok halus belakang Laela. Hanya itu yang mampu dilakukan waktu itu untuk cuba menenangkan Laela. Hati wanitanya tersentuh juga, entah apalah hikmah di sebalik ujian yang diberikan Allah swt ini kepada Laela. Atau mungkin itu adalah hukuman atas kesalahan yang dilakukan. Dia tidak pasti tentang itu dan hanya mampu berdoa untuk anaknya yang bernama Laela ini.
"Sudahlah Laela, mesti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Mungkin Allah nak bagi yang lebih baik untuk Laela."
"Kenapa semua lelaki sengaja meninggalkan Laela. Apa hati Laela ni hanya layak untuk disakiti?"
"Jangan cakap macam tu Laela. Allah menguji setiap hamba-Nya yang disayangi. Semua orang diuji cuma bentuk ujian sahaja yang berlainan. Sudahlah jangan ditangisi apa yang telah berlaku. Kan lebih baik Laela buka buku baru dan hidup dengan tenang."
"Hati Laela hancur ibu. Dua orang lelaki yang Laela sayang semuanya tinggalkan Laela. Laela ni perempuan yang tidak cukup baik ke mak?"
"Laela, Allah dah janjikan bahawa lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik dan begitu juga lah sebaliknya. Mungkin ada lelaki yang lebih baik untuk Laela tapi belum tiba jodoh Laela. Mungkin ini jalan yang ditentukan untuk Laela jumpa dengan jodoh Laela tu."
"Rasanya Laela dah tak mahu dah mak, cukup lah dua kali terluka. Mulai hari ini Laela akan tutup pintu hati Laela untuk mana-mana lelaki. Laela tak mahu lagi kecewakan hati Laela ni."
"Terpulanglah pada Laela. Tapi kita manusia tidak akan mampu melawan takdir. Mengubahnya mungkin kita berpeluang. Kalau sampai waktunya, semua akan dipermudahkan segala urusan. Sekarang ni Laela kena kuat dan bina hidup baru dengan hati waja Laela tu supaya tidak ada lagi orang yang berani menyakiti LAela. Kalau ada juga nanti Laela cakap kat mak..."
"Kenapa kena cakap kat mak?"
"Biar mak pancung kepala dia.."
"Hah..."
Dua beranak itu saling berpandangan dan akhirnya terhambur keluar ketawa kedua-duanya menyebabkan ayah Laela bergegas keluar melihat keadaan dua beranak yang edang menghabiskan baki ketawa mereka itu.
"Hairan aku dua berana ni, sekejap menangis, sekejap ketawa. Ada apa yang melucukan kamu berdua ni, Imah?"
"Tak ada apalah. Ini hal orang perempuan. Awak tak perlu tahulah. Jom Laela kita masuk dapur dan makan. Mak ada masak lauk kegemaran kamu."
Mereka melangkah beriringan menuju ke dapur. Laela nekad, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah merubah hidupnya. Menjadikan apa yang berlaku sebagai sejarah yang tidak akan boleh diubah. Dan apa yang berlaku di depan hari nanti akan dilalui dengan penuh berhati-hati. Dia tidak akan tewas selagi berpegang pada hukum Allah swt.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan